Thursday 7 April 2011

Tok Gajah tumbang di laman sendiri



Terengganu bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum menewaskan Pahang 2-1 menerusi dua jaringan Abdul Manaf Mamat pada setiap babak permainan dalam perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam tadi.


Pada babak pertama, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului Terengganu apabila tendangan Mohd Fazli Baharuddin daripada dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee seawal minit keempat.
Gol awal berkenaan ternyata menyuntik semangat buat skuad kendalian Dollah Salleh untuk menambah jaringan dan memungut tiga mata berharga walaupun tanpa kehadiran dua pemain tonggak, R Surendran dan Mohd Faizol Hussain. 

Pelawat yang sepanjang babak pertama terpaksa mengekang asakan Pahang, akhirnya mendapat peluang menyamakan kedudukan sebelum rehat, dan peluang berkenaan disempurnakan Abdul Manaf untuk kembali ke bilik persalinan dengan kedudukan seimbang. 

Pada babak kedua, anak buah Irfan Bakti Abu Salim mula meningkatkan asakan dan Abdul Manaf Mamat sekali lagi menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Suffian Abdul Rahman untuk gol kemenangan Terengganu 10 minit sebaik permainan bersambung. 

Terengganu kini melonjak ke tangga keempat liga dengan 15 mata, memintas Felda United yang turut mengumpul mata sama, dengan hanya kelebihan satu gol selepas sembilan perlawanan. -BH

No comments:

Post a Comment