Thursday, 5 May 2011

Pafa sangkal pemain terlibat judi


Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Datuk Zainol Padzi Paharuddin semalam menyangkal dakwaan gejala menjual permainan kembali meresap ke dalam kancah bola sepak negara dan menjadi punca kemerosotan skuad Seladang. 

Beliau berkata pasukan bola sepak Perak tidak menghadapi gejala “bookie” dan dakwaan berkenaan itu dipercayai lebih berupa provokasi pihak tidak bertanggungjawab. 

“Mereka menggunakan kekalahan pasukan ini yang berturut-turut dengan mengaitkannya dengan judi. Pafa tidak pernah mengabaikan kebajikan pemain-pemainnya sehingga membuat mereka menerima pengaruh bookie. 

“Malah isu penangguhan gaji juga tidak pernah wujud dalam pengurusan Pafa sejak ianya diambil alih pengurusan baru,” katanya. 

Zainol Padzi berkata Pafa bagaimanapun tidak akan teragak–agak mengambil tindakan tegas jika terbukti benar kegiatan bookie sudah menular ke dalam pasukan bola sepak Liga Super Perak. 

Beliau berharap provokasi berkenaan tidak akan menjatuhkan semangat pemain sekali gus mengganggu konsentrasi mereka. 

“Bagi saya, isu ini hanyalah usikan nakal sebilangan kecil penonton yang mempunyai niat provokasi terhadap pasukan Perak. 

“Saya berharap penyokong dan peminat jangan mendengar dan percaya tuduhan liar ini supaya dapat menjaga perasaan pemain Perak kerana ini akan mempengaruhi prestasi pasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment