Pertembungan dua pasukan teratas Liga Super - pendahulu Selangor dan Terengganu yang hanya dibezakan satu mata - berakhir seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, untuk membolehkan Merah Kuning kekal di tangga teratas, malam tadi.
Beraksi di hadapan lebih 15,000 penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad Penyu jelas bersemangat untuk mencari tiga mata penuh. Skuad kendalian Irfan Bakti itu terlebih dahulu memperoleh peluang menjaringkan gol pada minit ke-11, namun sepakan Abdul Manaf Mamat yang hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar jauh tersasar.
Pasukan pelawat memperoleh peluang pada minit ke-25, kali ini menerusi Fadzli Saari tetapi rembatan kencangnya berjaya ditampan kemas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee.
Aksi keras kemudian disajikan kedua-dua pasukan dengan Terengganu berjaya menguasai sepenuhnya permainan.Safiq Rahim yang bekerja keras memastikan Selangor tidak pulang dengan tangan kosong daripada dua kunjungan ke Pantai Timur, bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menyempurnakan hantaran Amri Yahyah tiga minit sebelum rehat.
Pada babak kedua, Terengganu yang membuat dua pertukaran dengan memasukkan Ahmad Nordin Alias dan Muhaimin Omar terus menguasai permainan. Anak buah Irfan Bakti Abu Salim kembali mempamerkan rentak sebenar untuk mencari gol penyamaan dan Ismail Faruqi tidak mensia-siakan peluang di depan gawang Selangor ketika menyudahkan hantaran lintang Joseph Kalang Tie pada minit ke-62.
Terengganu kembali mengawal permainan dan hampir menggandakan jaringan menerusi Ismail, tetapi tandukannya ditampan penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar.
Selangor kekal di tangga teratas dengan 33 mata, dengan Kelantan berpeluang memintas sekiranya merakam kemenangan ke atas Kuala Lumpur, di Kota Bharu malam ini. Terengganu kekal berada di tangga kedua dengan mengumpul 32 mata, satu mata di belakang Selangor.
Di Stadium Perak, Ipoh, rekod tanpa kekalahan gelanggang sendiri tuan rumah akhirnya dicemari dengan kekalahan 3-1 kepada Kedah yang kini memintas lawan itu untuk menduduki tangga keempat dengan 27 mata.
Gol Kedah dijaringkan Khyril Muhymeen Zambri (m-30), Mohd Firdaus Fauzi (m-75) dan gol sendiri pertahanannya, Mohd Syazwan Roslan (m-83) manakala sol sagu hati tuan rumah menerusi Mohd Noor Hazrul Mustafa pada masa kecederaan.
No comments:
Post a Comment