Monday 2 May 2011

Rizal ketuai cabaran negara ke BMX Asia 2011

Pelumba negara, Mohd Rizal Tisin (gambar) akan mengetuai cabaran Malaysia di Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2011 di Nanjing, China bermula 17 hingga 18 Mei ini.

Pemilihan Rizal ke Nanjing dibuat Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PBKM) selepas pelumba itu muncul tempat keempat pada Kejohanan BMX Kebangsaan 2011 di Taman Botanikal Ayer Keroh, Melaka yang berakhir semalam.

Presiden PBKM, Abu Samah Abd Wahab berkata penyertaan negara ke kejohanan di China itu bertujuan mengutip mata kelayakan bagi membolehkan Malaysia beraksi dalam acara BMX Sukan Olimpik, 2012 di London.

“Kita belum tahu di manakah standard sebenar pelumba BMX Malaysia. Saya dimaklumkan ketika ini BMX di peringkat Asia Tenggara dikuasai sepenuhnya oleh Thailand dan Indonesia. Manakala di peringkat Asia, ia dimonopoli pelumba China, Jepun dan Korea Selatan.

“Bagaimanapun, setelah mendengar pandangan John Beasley (Ketua Jurulatih skuad trek berbasikal negara), PBKM percaya Malaysia harus memberi perhatian serius kepada disiplin BMX kerana ia acara Sukan Olimpik,” katanya.

Selain Rizal, juara keseluruhan Kejohanan BMX Kebangsaan 2011 Muhammad Aim Mohd Fauzi dan Muhamad Elmi Jumari turut disenaraikan untuk menyertai kejohanan tersebut.-Sinar

No comments:

Post a Comment