Wednesday, 13 April 2011

HM A bangkit benam KL


Anak didik Ong Kim Swee yang dahagakan kemenangan selepas kalah dalam tiga perlawanan berturut-turut Liga Super, kembali bangkit apabila menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi. 


Muhd Syahid Zaidon memecah ketandusan gol Harimau Muda A pada babak pertama perlawanan apabila berjaya menembusi gawang gol lawan selepas menerima hantaran lintang daripada Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-15.


Begitupun, serangan demi serangan dilakukan skuad remaja negara berjaya dipatahkan barisan pertahanan skuad warga kota biarpun tanpa kehadiran pemain pertahanan berbisa mereka, Farouk Hashim.

Harapan bagai muncul kembali buat Kuala Lumpur apabila menerima sepakan penalti pada minit ke-60 namun sepakan leret Khairul Razi Kamaruddin gagal mengelirukan penjaga gol Harimau Muda A, Mohd Izham Tarmizi Roslan. 


Babak kedua menyaksikan skuad Olimpik kebangsaan itu seperti kehilangan punca apabila penyumbang gol tunggal mereka dikeluarkan kerana kecederaan, selain pasukan lawan dibimbing Razip Ismail mengambil kesempatan menyerang. 

Tambahan masa empat minit pada separuh masa kedua nyata tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh Kuala Lumpur yang tampak berada dalam keadaan tertekan. 


Lain-lain keputusan:


Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pertembungan adik abang antara T-Team dan Terengganu berkesudahan dengan pasukan berstatus negeri mengatasi kelab 1-0 hasil jaringan Abdul Hadi Yahya, dua minit sebaik babak kedua bersambung. 


Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan yang mengharungi perlawanan kelima di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah terus dibelenggu kemarau kemenangan apabila tewas kepada Kedah 2-0 hasil jaringan Azlan Ismail (m-61) dan Baddrol Bakhtiar (m-88). 

Di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang sekadar seri tanpa jaringan menentang Johor FC. 

Di Stadium Likas, pertemuan antara dua pasukan tercorot berkesudahan dengan keputusan 2-2 untuk masing-masing memungut satu mata.-BH

No comments:

Post a Comment