Thursday 5 May 2011

TSG sasar tiga tahun jadi pasukan handalan dunia




Pasukan lumba basikal profesional Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) meletakkan sasaran menjadi sebaris dengan pasukan handalan dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi. 

Sasaran itu antara lain melihat TSG mampu bertanding pada kejohanan besar seperti Tour De France dan Giro d’Italia - dua perlumbaan berprestij dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, harapan itu berdasarkan keupayaan TSG pada Le Tour De Langkawi (LTDL) baru-baru ini apabila menduduki tempat kelima daripada lebih 20 pasukan termasuk mengatasi pencapaian pasukan kebangsaan. 

“Kita harap dalam masa dua atau tiga tahun lagi, pelumba TSG bersedia bersaing dengan pasukan handalan dunia. Saya percaya pelumba TSG seperti Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh boleh bersaing dengan pelumba Eropah. 

“Cuma mereka perlu lebih berdisiplin, latihan lebih profesional, berstamina, daya tahan dan menjaga pemakanan,” katanya selepas merasmikan pejabat Terengganu Pro-Asia Cycling Team di Tingkat 5, Bangunan EPIC di Kuala Terengganu, semalam. 

Ahmad berkata, bagi memperkukuhkan pasukan itu terutama dalam aspek pendakian, TSG juga mencari pakar mendaki dan mengenal pasti Muhammad Adiq Husainie Othman, 21, yang kini mewakili Team Drapac di Australia. 

Anuar ketika ditemui berkata, persediaan rapi perlu dilakukan pengurusan TSG untuk menguji kemampuan bersaing dengan pelumba handalan dunia khususnya dari Eropah yang hebat dalam pendakian. 
“Kami masih perlu banyak berlatih dan mencari pelumba berbakat untuk memperkukuhkan pasukan ini termasuk mencari pakar pendaki,” katanya. -BH

No comments:

Post a Comment