Malaysia gagal lagi. Selepas mengharungi tiga perlawanan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang sedang berlangsung di Ipoh, Perak, skuad negara masih gagal memungut sebarang mata.
Semalam, mereka dikecewakan oleh India apabila tewas 2-5. Ia merupakan kekalahan ketiga skuad bimbingan Tai Beng Hai itu setakat ini selepas tumpas 1-3 kepada Britain pada aksi pembukaan diikuti kekalahan 1-2 kepada Australia pada perlawanan kedua.
Kini, hasrat Malaysia menjadi salah satu daripada empat pasukan terbaik pada kejohanan kali ini semakin pudar. Malaysia gagal mengulangi kejayaan menundukkan India 4-3 pada perlawanan separuh akhir Sukan Asia di Guangzhou, China tahun lalu.
Pada aksi semalam, India yang menduduki ranking kesembilan dunia hanya mengambil masa lapan minit untuk memecah kebuntuan melalui jaringan padang oleh Roshan Minz.
Pintu gol Malaysia yang dikawal S. Kumar bolos lagi melalui tolakan deras Mandeep Antil pada minit ke-18. Jaguh pukulan sudut penalti India, Rupinder Pal Singh mempamerkan kehebatannya dengan menjaringkan gol ke tiga pada minit ke-22.
Seminit sebelum masa pertama tamat, pemain muda negara Muhammad Azammi Adabi merapatkan jurang gol apabila mencatat nama sebagai penjaring menerusi gerakan padang. Begitupun, pada 30 saat terakhir separuh masa pertama, India memperoleh gol keempat melalui Sunil Sowmarpet sebelum Mohd. Shahrun Nabil Abdullah menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit ke-43.
India mendapat gol kelima pada minit ke-69 menerusi Mandeep Antil, sekali gus mengukuhkan kedudukan bagi merebut empat pasukan terbaik pada kejohanan kali ini.
Terdahulu, Australia mula menunjukkan belang apabila membaham Pakistan, 5-1. Britain pula menumpaskan New Zealand 3-1 untuk merakam kemenangan keempat, sekali gus melonjak ke kedudukan teratas saingan tujuh negara itu.
No comments:
Post a Comment