Friday, 6 May 2011

Malaysia tunduk kepada Britain


Malaysia tunduk 1-3 kepada Britain pada aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh semalam.
Meskipun tampil garang pada 15 pertama, tetapi usaha untuk menggegarkan pintu gol Britain menemui kehampaan.
Peluang terbuka Malaysia hadir pada minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Razie Abdul Rahim tetapi percubaannya itu mudah ditepis oleh penjaga gol Britain, James Fair.
Britain selaku tuan rumah Sukan Olimpik 2012 menggunakan sepenuhnya peluang pukulan sudut penalti untuk mendahului Malaysia yang pada minit ke-17 yang disempurnakan dengan baik oleh James Tindall.
Meskipun ketinggalan, Malaysia tetap bekerja keras untuk mencari gol penyamaan tetapi ketiadaan penyerang yang berwibawa menyebabkan beberapa peluang terbaik gagal disudahkan dengan baik.
Kedudukan Britain semakin kukuh apabila pukulan kencang oleh Richard Smith pada minit ke-35 gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Roslan Jamaluddin.
Pada separuh masa kedua, Malaysia berjaya merapatkan jurang gol melalui pukulan deras oleh Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil pada minit ke-41.
Dalam keghairahan Malaysia menambah jaringan gol, Britain menyumbatkan gol ketiganya melalui tolakan deras oleh Robert Moore pada minit ke-51.
Sementara itu, juara Sukan Asia, Pakistan mencatat kemenangan selesa selepas menumpaskan New Zealand 4-2. Dalam satu lagi perlawanan, Korea Selatan menewaskan India 3-2.

No comments:

Post a Comment