Wednesday 4 May 2011

Azizulhasni, Fatehah Olahragawan, Olahragawati Terengganu




Pengiktirafan daripada negeri kelahiran suatu yang cukup bermakna dan meninggalkan kesan lebih manis buat pelumba keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang apabila dia dinobatkan sebagai Olahragawan Terengganu buat kali kedua berturut-turut sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2009/2010, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam semalam.


Mohd Azizulhasni menerima anugerah yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Turut mengiringi Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa belia dan Sukan Negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Encik Zainal Abidin Hussin.

Kemenangan itu membolehkan anak Dungun yang hadir ke majlis itu sambil ditemani isteri, Athiah Ilyana Abdul Samat dan keluarga terdekat, menerima wang tunai RM5,000, piala, sijil penghargaan dan pakaian sukan .

“Alhamdulillah kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri Terengganu menghargai kerja keras saya selama ini. Sebelum ini saya mendapat penghargaan daripada negara sebagai olahragawan dan anugerah daripada negeri sendiri meninggalkan kesan lebih manis,” katanya. 
Dia bakal menyertai Kejohanan Universiti Dunia di Shenzen, China pada Ogos ini, diikuti empat siri kejohanan basikal dunia bermula penghujung sehingga awal tahun depan yang berakhir di Melbourne, sebelum prospek utama negara bagi merebut emas pertama Malaysia itu bersaing di trek perlumbaan temasya Sukan Olimpik London 2012.

Manakala penerima Anugerah Olahragawati Negeri Terengganu pula disandang atlit berbasikal negara, Fatehah Mustafa. Anak kelahiran Hulu Terengganu itu juga membawa pulang wang tunai RM5,000, piala, sijil penghargaan dan pakaian sukan.

Fatehah yang ditemui sejurus majlis itu, berkata dia tidak menduga akan mengekalkan kemenangan itu tahun ini, memandangkan persaingan finalis olahragawati amat sengit khususnya daripada atlit skuasy kebangsaan, Siti Munirah Jusoh.

Selain Mohd Azizulhasni dan Fatehah, Olahragawan dan Olahragawati Harapan masing-masing menjadi milik atlit kanu, Siti Rajiah Ali dan Muhammad Adiq Husainie Othman (berbasikal). Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM2,500 dan sijil penghargaan setiap seorang.

Acara kanu turut memenangi tiga kategori lain iaitu Pengurusan Persatuan Terbaik, Pasukan Wanita dan Lelaki Terbaik. Kemenangan dalam empat kategori itu membolehkan Persatuan Kanu Negeri Terengganu yang mula ditubuhkan pada 1993 mengumpul wang tunai RM4,000 berserta sijil kepujian.

Bagi kategori Pasukan Wanita dan Lelaki Terbaik, 24 atlit kanu masing-masing 12 atlit wanita dan 12 atlit lelaki berjaya membawa pulang RM500 setiap seorang.

Manakala bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong menerima anugerah Tokoh Sukan, diikuti Anugerah Kepimpinan Sukan menjadi milik Tuan Haji Shapian Ali (Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia).

Bagi Anugerah Jasamu dikenang dianugerahkan kepada Allahyarham Haji Mohamad Muda (bekas Ketua Penolong Setiausaha Sumber Manusia - 2004), Jurulatih Terbaik dianugerahkan kepada Khalid Mohd Dahan (Penolong Jurulatih T-Team), Anugerah Majlis Sukan Daerah dimenangi Majlis Daerah Dungun dan akhbar Sinar Harian pula menerima penghargaan bagi kategori Anugerah Media.

No comments:

Post a Comment