Kelantan vs Kedah |
Terengganu berpesta gol apabila membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam. Namun pesta gol skuad Penyu tidak membantu mereka merampas takhta Liga Super apabila dua pasukan teratas, Kelantan dan Selangor mengekalkan kedudukan masing-masing setelah turut melakar kemenangan di laman sendiri.
Abdul Manaf Mamat meledak dua gol untuk Terengganu pada minit ke-52 dan ke-75. Dua lagi jaringan pasukan tuan rumah menerusi Abdul Hadi Yahya (m-18) dan Hellmi Rameli (m-70).
Di Stadium Shah Alam, Selangor cemas seketika sebelum memastikan kemenangan 3-2 ke atas Johor FC.
Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-22 menerusi Shahrizal Mohd. Saad, namun Selangor bangkit dengan jaringan Rudie Ramli (m-65) dan Amri Yahya (m-69) manakala jaringan ketiga oleh Azidan Sarudin (m-77).
Mohd. Khairul Ismail menjaringkan gol kedua Johor FC.
Rentak kemenangan pendahulu liga, Kelantan bagaikan tidak mampu disekat apabila menang 2-0 ke atas Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu menerusi jaringan Khalid Jamlus (m-54), S. Chanturu (m-66).
Di Stadium Utama, Kangar, Perlis akhirnya melakar kemenangan kedua musim ini apabila mengatasi T-Team 2-1.
Namun pelawat mendahului menerusi Haris Safwan pada minit ke-18. Perlis bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Rizal Ghazali pada minit ke-26 dan Syed Abdul Ghafar Syed Amir muncul wira dengan gol kemenangan Perlis pada minit ke-83.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, Felda United mengalahkan Harimau Muda A 2-0 hasil jaringan Liew Kit Kong (m-40) dan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof (m-76).
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mencatat kemenangan ketiga apabila mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Zainizam Marjan (m-68) dan Md. Farid Ideris (m-84).
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah yang kalah dalam dua perlawanan terakhir, seri tanpa jaringan dengan Pahang.
No comments:
Post a Comment