Tuesday 3 May 2011

Negeri Sembilan vs Perak


Negeri Sembilan yang menanti kunjungan Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini, berdepan tugas berat apabila tidak dapat menurunkan barisan terbaik susulan beberapa kecederaan pemain. 

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah yang mengesahkan perkembangan itu berkata, sekurang-kurangnya lapan pemain tidak dapat diturunkan termasuk perancang tengah Idris Karim dan dua penyerang utama, Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani, selain Ahmad Aminuddin Shaharuddin, Tengku Qaiyum Ubadilllah dan Abdul Halim Zainal.

Sehubungan itu, dia terpaksa menyandarkan harapan kepada penyerang muda Mohd Firdaus Azizul, Mohd Shaffik Abd Rahman dan dua pemain skuad Piala Presiden, Mohd Fiqri Adwan dan Mohd Khairul Ridzuan, untuk menerajui barisan depan.

Menurut Azraai, dia tidak mahu pasukan yang mula dibimbing 22 Mac lalu, dilabelkan sebagai pakar seri selepas mengutip satu mata hasil pertemuan dengan Harimau Muda A dan terbaru FELDA United FC. 

Manakala di kem Perak, kemampuan Perak untuk menjadi pencabar utama dalam kancah Liga Super 2011 kini menjadi tanda tanya selepas hanya mengutip tiga mata daripada tiga perlawanan pusingan kedua, setakat ini. Kecuali kemenangan 5-3 ke atas Kuala Lumpur, Perak mengalami kekalahan kepada Terengganu dan yang terbaru menyaksikan Kedah menamatkan rekod tanpa kalahnya di tempat sendiri Jumaat lalu.

Justeru jurulatih Seladang, Norizan Bakar perlu mencari rumusan mustajab bagi menghentikan kemerosotan anak buahnya terutama apabila turun melayani Negeri Sembilan di Paroi, malam ini. Apa yang pasti pasukan Kejor Yob Kejor tidak mampu mencicir mata lagi jika ingin terus bersaing dalam perebutan gelaran musim ini kerana sudah ketinggalan tujuh mata kepada pendahulu Kelantan.

Berdasarkan persembahan setakat ini masalah utama Perak ialah aksi tidak konsisten barisan serangan seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Mohd Shafiq Jamal dan Razali Umar Kandasamy.

Lain-lain perlawanan:
Johor FC vs Kelantan
K.Lumpur vs Selangor
T'ganu vs Perlis
Kedah vs Sabah
Pahang vs Felda Utd
T-Team vs Harimau Muda A



No comments:

Post a Comment