Thursday 12 May 2011

Episod duka hoki terus berulang


Penyakit lama berulang kembali! Itu yang dapat dirangkumkan apabila melihat persembahan skuad hoki negara ketika tewas 2-3 kepada New Zealand pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, semalam.

Apa tidaknya, pada perlawanan menyaksikan skuad negara tewas buat kali keempat berturut-turut itu, anak buah Tai Beng Hai pada mulanya berjaya mengikat kedudukan 2-2 bagaimanapun melepaskan peluang untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata berharga apabila hilang fokus seminit sebelum tamat perlawanan sehingga menyaksikan lawan dihadiahkan pukulan sudut penalti.

Steven Edwards tidak mensia-siakan peluang itu apabila menguis masuk menewaskan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin sekali gus memberikan kemenangan untuk New Zealand manakala skuad negara sekali lagi melangkah keluar dari padang dengan wajah hampa.

Meskipun tidak dinafikan semua pemain negara mempamerkan semangat juang tinggi, penyudah yang tumpul serta kealpaan pada saat akhir menyaksikan skuad negara terpaksa menelan pahit tewas kepada semua lawan, termasuklah kepada Britain pada perlawanan pertama serta India pada perlawanan ketiga.

Terdahulu pada perlawanan semalam, New Zealand di depan apabila Nicolas Wilson melakukan tolakan dengan baik hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-16 sebelum Muhammad Izzat Mohd Rahim menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang pada minit ke-30.

No comments:

Post a Comment