Pemain No. 1 Dunia, Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan kelima tahun ini selepas menang 21-9, 21-19 ke atas pemain China, Bao Chunlai pada final Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia semalam.
Juara Seluruh England, Siri Super Terbuka India dan Malaysia berusia 29 tahun itu jelas berada pada kelas tersendiri untuk menjuarai kejohanan itu buat kali ketiga berturut-turut dengan menyingkirkan pemain pilihan ketujuh itu, 21-9, 21-19 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah.
Pada set pertama, Chong Wei mendapat sorakan kira-kira 3,000 peminat tempatan terus mempamerkan penguasaan sebaik perlawanan bermula dengan mempamerkan beberapa pukulan menarik dan kawalan gelanggang yang baik untuk menewaskan pemain nombor 11 dunia itu dengan keputusan 21-9 dalam masa 13 minit.
Chunlai bagaimanapun bangkit mempamerkan tentangan sengit pada set kedua sehingga sering kali mendahului Chong Wei dalam pungutan mata dan keadaan semakin meresahkan penonton tempatan apabila pemain China itu mendahului 19-17.
Namun pemain kelahiran Pulau Pinang itu segera mengemaskan corak permainannya bagi kembali menguasai permainan untuk merapatkan kedudukan serta mengutip empat mata berturut-turut untuk memenangi set kedua 21-19 pada kejohanan pertama bagi pemain badminton mengutip mata bagi melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik 2012.
Kemenangan itu melebarkan rekod kemenangan Chong Wei ke atas Chunlai dengan 12 kali menang berbanding empat kekalahan, malah kali terakhir pemain China itu mengatasi Chong Wei adalah pada Siri Super Terbuka China 2007.
Pada aksi di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar itu, pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Leong turut menamatkan kemarau 16 bulan apabila merangkul kejuaraan sulung. Pasangan itu mengenepikan cabaran Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan yang merupakan pilihan keempat kejohanan dari Indonesia 21-16, 21-7.
Dalam pada itu, pasangan beregu campuran Peng Soon-Liu Ying yang diharapkan untuk mengulangi dua kejutan sebelum ini terpaksa akur dengan kehebatan pasangan dari Indonesia yang juga merupakan pilihan keempat perlawanan, Tantowi Ahmad-Liliyana Natsir 21-18, 15-21, 21-19 dalam tempoh 57 minit perlawanan.
Berkenan berangkat Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.
No comments:
Post a Comment