Sunday, 10 July 2011

Zulfadli juara remaja Asia



Zulfadli Zulkifli melakukan apa yang gagal dilakukan pemain-pemain terdahulu, apabila muncul pemain Malaysia pertama merangkul kejuaraan perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Lucknow, India semalam.

Malah, bintang remaja berusia 18 tahun itu merangkul kemenangan sebagai pemain bebas yang ditaja oleh KLRC selepas membenam cabaran lawan dari India, Verma Sameer 21-15, 21-17 hanya dalam masa 36 minit.

Harapan Malaysia untuk membawa pulang gelaran berganda buat kali pertama, bagaimanapun tidak kesampaian selepas sandaran yang diberikan kepada beregu perempuan, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean berkesudahan dengan kekalahan 18-21, 21-16, 12-21 kepada pasangan Indonesia, Andini Suci Rizki-Nuraidah Tiara Rosalia.

Malaysia tidak pernah merangkul kejuaraan remaja Asia dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara menerusi Mohd. Arif Abdul Latif (2007), Iskandar Zulkarnian Zainuddin (2009) dan Loh Wei Sheng, tahun lalu.

Kemenangan Zulfadli ini menebus kekecewaannya selepas gagal memberi persembahan cemerlang ketika membawa cabaran Malaysia dalam saingan berpasukan, awal minggu ini. Zulfadli kalah dalam kedua-dua perlawanan menentang Indonesia (separuh akhir) dan China (akhir).

Bagaimanapun semalam, Zulfadli, yang dibimbing oleh bapanya sendiri, Zulkifli Sidek mempamer aksi meyakinkan dan mendahului dari awal permainan ketika menumpaskan Sameer, sekali gus melakukan apa yang gagal dilakukan pemain terdahulu.

No comments:

Post a Comment