Format Liga Malaysia (Liga M) 2012 kekal sebagaimana yang berlangsung musim ini. Ini bermakna 14 pasukan akan bersaing dalam kempen Liga Super, manakala 12 pasukan berentap pada saingan Liga Premier.
Namun pembaharuan yang bakal berlaku pada saingan Liga M musim depan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan khidmat dua pemain import bagi setiap pasukan.
Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Menurut Tengku Abdullah, sebarang perubahan format Liga M hanya akan dibuat pada musim 2013 dan keputusan mengenainya bakal dimuktamadkan Disember depan iaitu sebelum sepak mula musim 2012.
“Jawatankuasa (Eksekutif FAM) telah memutuskan untuk kekal dengan format 14 pasukan (Liga Super).
“Menjelang Disember depan, kita akan tetapkan pula format bagi musim 2013 sama ada terus kekal 14 pasukan atau dikurangkan kepada 12 atau 10 pasukan.
“Kita perlu lihat dari semua aspek seperti infrastruktur dan kewangan setiap pasukan. Kalau boleh, kita nak banyak pasukan tetapi mereka ini perlu serius dalam pengendalian pasukan,” kata Tengku Abdullah pada sidang media sele- pas mesyuarat itu.
Dengan pengekalan format tersebut, dua pasukan teratas Liga Premier musim ini, PKNS dan Sarawak akan beraksi pada Liga Super 2012, manakala dua pasukan tercorot Liga Super, Pahang dan Perlis bakal turun ke Liga Premier 2012. Skuad Harimau Muda A pula akan beraksi di Liga Singapura pada 2012 manakala pasukan remaja negara republik itu, Young Lions beraksi dalam Liga Super, termasuk Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun sama.
Ia pasti sejarah buat Pahang yang akhirnya turun ke Liga Divisyen Dua buat pertama kali sejak 1989 setelah beberapa kali ‘diselamatkan’ oleh perubahan format oleh FAM dan penarikan diri pasukan lain.
Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) menjelaskan bahawa pemain-pemain import yang kini beraksi di liga sekitar Asia Tenggara perlu beraksi dua musim di luar sebelum boleh menyertai Liga M.
“Syarat dua pemain import ini juga bukan wajib untuk setiap pasukan tetapi hanya kepada pasukan yang berkemampuan serta tidak mempunyai tunggakan gaji atau caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
“Kriteria pemain import pula, pemain dari Asia Tenggara perlulah seorang pemain kebangsaan, pemain dari Asia perlulah yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu, manakala pemain dari Eropah, Afrika atau Amerika Selatan perlulah yang beraksi sekurang-kurangnya di Liga Divisyen Dua,” jelas Hamidin.
Kali terakhir khidmat pemain import dibenarkan dalam saingan Liga M ialah pada 2008 dan sepanjang tiga musim lalu iaitu 2009, 2010 dan 2011, Liga M berlangsung dengan seratus peratus pemain tempatan.
Hamidin turut memberitahu bahawa skuad Harimau Muda A sah menarik diri untuk saingan Piala Malaysia musim ini dan tempat mereka bakal digantikan sama ada Pahang atau Sime Darby yang akan bertemu pada aksi playoff, 19 dan 22 Julai ini.
“Undian Piala Malaysia akan diadakan pada 3 Ogos depan, manakala saingan akan bermula pada September iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri,” ujar Hamidin.
No comments:
Post a Comment