Friday, 8 July 2011

Hadi gembira menang Kasut Emas


Penyerang berbisa Terengganu, Abdul Hadi Yahya gembira impiannya memiliki Kasut Emas Liga Super musim ini terlaksana selepas menghasilkan 20 gol tatkala jurulatih Irfan Bakti Abu Salim turut menumpang bangga selepas melahirkan tiga penjaring terbanyak Liga Super berturut-turut sejak 2009. 

Abdul Hadi, penyerang muda skuad Harimau Malaya berkata, pencapaiannya itu menjadi sandaran buatnya untuk membantu skuad negara mengharungi kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia bersama gandingan senior seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
“Sebenarnya saya tidak sangka dapat jaringkan empat gol (bertemu FELDA United) dan ini semua adalah berkat usaha rakan sepasukan. “Saya berbangga dapat membantu pasukan dengan menjadi penjaring terbanyak,” katanya yang menghasilkan 20 gol, sekali gus mengenepikan Norshahrul yang menghasilkan 19 gol untuk dinobatkan pemenang Kasut Emas musim ini.

“Saya akan jadikan pencapaian ini sebagai motivasi untuk membantu skuad kebangsaan apabila menentang Singapura nanti,” katanya selepas perlawanan terakhir menentang FELDA United yang kesudahan Terengganu menang 6-2 di Stadium MBPJ, kelmarin. 

Bagi Irfan, dia berbangga dengan pencapaian Terengganu apabila mampu membenam FELDA United dengan jumlah jaringan besar tetapi lebih menggembirakannya adalah sekali lagi melahirkan penjaring berbisa. 

“Malam ini (kelmarin) melepasi apa yang kami jangkakan iaitu menjaringkan banyak gol bagi mengejar Kelantan tetapi tidak berhasil. Saya ucapkan tahniah kepada Kelantan kerana menjuarai Liga Super musim ini. 

“Tetapi saya juga berbangga kerana tiga tahun berturut-turut, penyerang di bawah kendalian saya muncul penjaring terbanyak iaitu Mohd Ashaari Shamsuddin (2010) dan Mohd Nizaruddin Yusof (2009). Kali ini giliran Abdul Hadi,” katanya sambil menambah skuad Terengganu akan terbang ke London minggu depan sebagai ganjaran menjuarai Piala FA bulan lalu. 

No comments:

Post a Comment