Thursday, 7 July 2011

Terengganu berpesta gol, Hadi raih Kasut Emas

\

Juara Piala FA, Terengganu yang turun dengan harapan memintas Kelantan di persada liga sekiranya pendahulu itu tumpas di Sabah, berpesta gol ketika membenam FELDA United 6-2 di Stadium MBPJ malam tadi - kemenangan yang melonjak pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim ke tangga kedua liga selepas Selangor sekadar seri tanpa jaringan dengan Perak.
Tanpa menghiraukan keputusan Kelantan yang mengesahkan kejuaraan selepas membenam Sabah di Stadium Likas, Terengganu yang perlu menang besar mengganas sebaik bermula dan memerlukan tempoh enam minit untuk membolosi skuad E Elavarasan dengan tiga gol - bermula jaringan minit ke-16 Reeshafiq Alwi, Abdul Manaf Mamat dan pemburu kasut emas Liga Super, Abdul Hadi.

Tiga minit sebelum rehat, Hadi menjadikan kedudukan 4-0 sebelum FELDA merapatkan jurang menerusi Hasmarul Fadzir Hassan (m-45). Pada babak kedua, Hadi menambah dua lagi gol (m-70, m-82) untuk 20 gol keseluruhan musim ini untuk memastikan status selaku penjaring terbanyak Liga Super, sebelum FELDA merapatkan jurang dengan gol kedua Syazwan Zainon (m-85).

  • Di Stadium Perak, Selangor tercicir ke tangga ketiga liga selepas gagal membolosi gawang yang dikawal ketat penjaga gol Nasril Nourdin untuk juara musim 2010 bimbingan K Devan itu menamatkan saingan dengan 51 mata, satu mata di belakang Terengganu dan empat mata ditinggalkan juara, Kelantan. 

  • Di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Kedah merampas tangga keempat selepas menewaskan Pahang 1-0 dan tuan rumah bimbingan Dollah Salleh bakal tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas menamatkan saingan musim ini di tangga kedua tercorot dengan 22 mata.

  • Di Stadium Shah Alam, barisan muda kendalian Ong Kim Swee, Harimau Muda A dengan menamatkan kempen Liga Super di tangga kelima selepas seri 2-2 ketika bertemu Johor FC. 

  • Di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan menumpaskan pasukan tangga tercorot Perlis 2-0, hasil jaringan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah (m-59). 
  • No comments:

    Post a Comment