Thursday, 30 June 2011

Malaysia 2 1 Taiwan







Keputusan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi harus menerbitkan sedikit perasaan gelisah buat skuad Harimau Malaya walaupun bermula dengan langkah kanan menewaskan Taiwan.

Kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia mencipta rasa bangga tetapi anak didik Datuk K Rajagobal perlu menyajikan kelibat lebih garang dalam pertemuan timbal balik di Taiwan, Ahad ini andai memasang impian mahu layak ke pusingan kedua.

Apa pun, dua gol jaringan jaringan kapten, Safiq Rahim dan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Razak pada setiap babak permainan menepati sasaran awal jurulatih dan keputusan seri dalam perlawanan kedua nanti sudah memadai untuk mengharungi halangan berikut menentang pasukan tetangga, Singapura.

Tuan rumah yang bermula agresif membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Safiq yang berpunca daripada gerakan Abdul Hadi Yahya sejurus selepas masuk menggantikan Helmi Remeli.Hadi tidak menunggu lama memecah bentang pertahanan dari sisi kanan sebelum melorong bola kepada S Kunanlan dan umpanan pemain tengah itu mudah disempurnakan Safiq yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Taiwan, Lin Po-Cheng. 

Pada babak kedua, Rajagobal memasukkan Ahmad Fakri Saarani menggantikan Safee Sali yang mengalami kecederaan di akhir babak pertama, dan penyerang muda itu hampir menambah jaringan selepas menerima hantaran leret Baddrol Bakhtiar, tetapi tolakannya tersasar. 

Minit ke-55, Aidil yang kembali menyarung jersi kebangsaan tahun ini selepas pulih daripada kecederaan, menceriakan lebih 45,000 penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk gol kedua yang bermula daripada sepakan sudut Safiq.

Kelebihan dua gol kem negara bagaimanapun dicemari gerakan pantas jentera serangan Taiwan yang melakukan asakan dari sebelah kanan gawang dan pemain tengah, Chen Po-Liang mudah menewaskan penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee pada minit ke-76. 

No comments:

Post a Comment