Abdul Hadi Yahya |
Selepas tujuh bulan berpayung di bawah kejayaan Piala AFF Suzuki 2010, skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal berdepan cabaran sebenar pertama tahun ini apabila turun menentang Taiwan dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Berbekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan persahabatan antarabangsa sepanjang tahun ini, skuad kebangsaan dilihat mampu mengumpul bekal selesa di laman sendiri sebelum bertandang ke Taiwan untuk perlawanan timbal balik, Ahad ini.
Jika diamati pencapaian skuad kebangsaan tahun ini, mereka belum pernah ditewaskan dalam mana-mana perlawanan berprofil tinggi selepas menjuarai Piala Suzuki AFF, Disember lalu. Bermula aksi persahabatan mengalahkan Hong Kong dengan jaringan 2-0 pada 9 Februari lalu dan diikat 1-1 pada aksi ulangan di Siu Sai Wan Sports, termasuk meratah Myanmar (2-0) di Kota Bharu, baru-baru ini.
Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal terus merahsiakan kesebelasan utamanya bagi menghadapi Taiwan pada malam ini. Paling mencuri tumpuan ialah siapa yang akan menjaga gawang gol - sama ada Khairul Fahmi Che Mat atau Sharbinee Allawee Ramli serta gandingan serangan selepas Safee Sali mengalami kecederaan hamstring tendon lutut.
"Saya dah banyak kali buat kejutan sebelum ini. Saya selalu buat keputusan mengejut pada saat akhir. Esok (hari ini) saya akan lihat siapa yang cukup bersedia fizikal dan mental untuk diturunkan.
"Mungkin jika Khairul Fahmi berasa selesa (sakit bahu) selepas latihan petang ini (semalam), saya akan turunkannya. Apa pun saya tetap akan dapatkan nasihat fisioterapis pasukan sebelum membuat keputusan," kata Rajagobal.
Di barisan serangan pula, Rajagobal mungkin akan menggandingkan Abdul Hadi Yahaya dan Baddrol Bakhtiar selepas Safee mengalami kecederaan di saat-saat akhir pada sesi latihan petang semalam. Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Fakri Saarani pula turut boleh diturunkan selepas kedua-duanya sudah pulih daripada kecederaan hamstring dan lutut.
Namun di sebalik masalah tersebut, Rajagobal tetap berkeyakinan Malaysia mampu meraih kemenangan di laman sendiri bagi mendapatkan bekalan sebelum bertandang ke tempat lawan pada Ahad ini.
"Kami akan tampilkan aksi terbaik apabila beraksi di tempat sendiri dan fokus utama ialah untuk meraih kemenangan. Kita tak boleh nak ramal berapa jumlah jaringan.
"Jika menang 1-0 pun, ia cukup untuk kita ke tempat lawan dengan tanpa tekanan berbanding jika tewas. Jadi saya mahu pemain manfaatkan peluang terhidang dan tiada sebab untuk kita tewas," tegas Rajagobal.
Andai berjaya melepasi halangan pusingan pertama, musuh tradisi, pasukan Singapura menanti di pusingan kedua dalam pertemuan yang dijangka diadakan pada 23 dan 28 Julai depan bagi merebut slot ke pusingan ketiga yang bakal membabitkan saingan 20 pasukan.
No comments:
Post a Comment