Tuesday, 7 June 2011

Kelantan hampiri gelaran juara Liga Super



Kelantan membuat satu langkahan besar ke arah memburu mahkota kejuaraan Liga Super dengan merakamkan kemenangan penting 3-0 ke atas pencabar terdekat, Terengganu di Stadium Sultan Ismail pada hari yang menyaksikan Selangor bangkit garang untuk berpesta gol membaham Perlis 7-1 di halaman sendiri, malam tadi.

Anak didik buah Datuk M Karathu yang turun sebagai pendahulu dengan hanya kelebihan jumlah jaringan, bermula agresif untuk menjarakkan diri daripada pesaing terdekatnya itu. Selepas tujuh minit, pelawat berjaya merobek gawang tuan rumah menerusi Khairul Izuan Rosli.
Terengganu beroleh peluang menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi Abdul Manaf Mamat, tetapi percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol kedua Kelantan, Shahrizan Ismail yang beraksi cemerlang menggantikan penjaga gol nombor kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Selepas rehat, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menambah derita Terengganu dengan dua gol hampir sama selepas melepasi benteng pertahanan untuk hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Sharbinee Allawee pada minit ke-72 dan 90.

Di Stadium JCORP, Pasir Gudang, Perak gagal mempertahankan kedudukan di tangga keempat liga selepas jatuh ke tangga kelima apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor FC yang kekal di tangga kelapan.

Serangan bertali arus tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-22 selepas Azizan Baba bijak yang menerima umpanan Mohd Riduwan Maon bijak melencongkan bola melepasi jangkauan penjaga gol, Mohd Nasril Nourdin.

Pada separuh masa kedua, penantian Perak untuk mencari gol penyamaan menjelma pada minit ke-87 selepas Akmal Rizal menanduk bola masuk untuk memastikan keputusan terikat 1-1. 

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan menumpaskan T-Team 4-0 hasil jaringan S Kunanlan (m-1), Firdaus Azizul (m-22, penalti m-42) dan Hairuddin Omar (m-46) manakala di Stadium MBPJ Kelana Jaya, tuan rumah FELDA United tewas 2-1 kepada Kedah.-BH

No comments:

Post a Comment