Tuesday, 14 June 2011

Kelantan mahu lupakan episod duka

Penggempur The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha mahu rakan-rakan sepasukannya melupakan episod duka ketika Kelantan tumbang kepada Terengganu 1-2 pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Norshahrul ketika ditemui pada sesi latihan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam mengakui moral rakan sepasukannya sedikit terjejas dengan kekalahan yang cukup memeritkan itu.
"Saya akui moral rakan-rakan dalam pasukan sedikit terjejas dengan kekalahan kepada Terengganu. Namun dengan latihan pada petang ini (semalam) saya berharap ia dapat membantu memulihkan semula semangat mereka bagi Perak dalam saingan liga.
"Meskipun gagal membawa pulang kejuaraan Piala FA ke bumi Kelantan, saya harap rakan-rakan sepasukan kembali bangkit dan mendapatkan tiga mata penting dalam perlawanan malam esok (malam ini)," katanya.
Tambahnya, ini peluang terbaik buat The Red Warriors untuk terus mengukuhkan cengkaman di puncak liga, seterusnya menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama.
Dengan hanya dibezakan dua mata di depan Selangor dan tiga mata di depan Terengganu, situasi dalam pasukan Red Warriors ketika ini amat genting, lebih-lebih lagi Perak bimbingan jurulatih Norizan Bakar, pernah menundukkan Kelantan 4-0 di Ipoh pada pusingan pertama. 

Malah, moral pemain yang berada pada tahap terendah memaksa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk hadir memberi kata-kata perangsang dan mengingatkan perjuangan bukan berakhir setakat Piala FA, sebaliknya masih ada Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini. 

Jurulatih Datuk M Karathu, berharap anak buahnya bangkit terutama ketika meniti saat kritikal untuk memastikan trofi Liga Super buat pertama kali musim ini. “Saya tahu moral pemain sedikit menurun selepas gagal Sabtu lalu, tetapi ia tidak seharusnya melunturkan semangat mereka untuk bangkit, lebih-lebih lagi saingan Liga Super kini semakin ke kemuncaknya,” katanya. 

No comments:

Post a Comment