Sunday, 27 March 2011

Malaysia sekadar seri

Skuad bola sepak kebangsaan berjaya mengikat kelab dari Perancis yang merupakan juara Liga Singapura musim lalu, Etoile FC 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar malam tadi.
Skuad Harimau Malaya mendahului seawal minit keenam menerusi tandukan cantik Ahmad Fakri Saarani hasil lambungan Asraruddin Putra Omar dari sebelah kiri untuk mengejutkan penjaga gol Etoile, Antonin Trilles.
Etoile turut memiliki dua peluang terbaik pada babak pertama tetapi kedua-dua tandukan penyerangnya, Jonathan Toto pada minit ke-18 dan 39 sekadar menggegar palang gol Malaysia yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.
Bermula babak kedua, Rajagobal membuat empat pertukaran dengan memasukkan Sharbinee Allawee Ramli, Fadhli Shas, Azidan Sarudin dan Ashari Samsudin menggantikan Khairul Fahmi, Muslim Ahmad, Amar Rohidan dan S. Kunanlan.
Namun Etoile pula yang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 hasil rembatan kencang pemain tengah, Hicham Bouchemlal dari luar kotak penalti setelah memperdaya kapten Malaysia, Safiq Rahim.
Malaysia selepas itu memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi percubaan Ashari (minit 72 dan 81) dan Norshahrul Idlan Talaha (88) berjaya diselamatkan Trilles tatkala Sharbinee di gawang Malaysia turut cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya Etoile.

No comments:

Post a Comment